Kepada YDP Presiden MPKlang yg dihormati,
Ini adalah seruan kita sebagai komuniti setempat kepada pihak berkuasa kerajaan Negeri Selangor khususnya PBT untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemajuan skim-skim komuniti berpagar yang sedang/telah dijalankan tanpa kebenaran di peringkat perancangan pemajuan ataupun yang telah dijalankan dengan cara lain.
Pihak berkuasa berkenaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan Majlis Perbandaran Klang harus semak samada pemajuan di sini telah dijalankan tanpa kebenaran merancang.
Pihak pemaju ketika itu Sime Darby Property telahpun mengesahkan bahawa projek-projek perumahan teres 2-tingkat di sekitar kawasan tersebut bukanlah suatu kawasan pemajuan 'Gated Community'. Jadi kita sebagai pemilik rumah sah tidak terbeli rumah jenis 'gated community'.
Namun selepas satu tempoh masa, semua fasa taman perumahan di sini telah bertukar kepada taman perumahan Gated Community atau telah menjalankan skim komuniti berpagar. Taman perumahan di sini bukannya besar tetapi terdapat banyak skim komuniti berpagar berasingan!
Akibatnya, pelbagai masalah timbul yang telah membebankan dan menyusahkan penduduk. Kita terpaksa membayar yuran bulanan yang tinggi untuk mendapatkan kad akses supaya tidak disusahkan pergerakan kita untuk keluar masuk kediaman. Ramai yang akur untuk menyertai skim mereka kerana tidak mahu famili mereka diganggu walaupun terpaksa dibebani dengan kos sara hidup bertambahan.
Masalah yang dihadapi penduduk di sini bertambah runcing apabila pihak RA yang tidak bertanggung jawab bukan sahaja telah melaksanakan sistem kad akses, mereka juga telah mengarahkan pengawal keselamatan mereka untuk meminta kad pengenalan orang ramai yang tidak menyertai skim berpagar mereka.
Ini adalah kediaman harta awam - kita sebagai rakyat yang membayar cukai berhak menggunakan jalanraya awam di sini pada bila-bila masa. Tetapi semua pihak RA di sini telah melaksanakan skim komuniti berpagar mereka seolah-olah seluruh kawasan ini adalah kawasan harta persendirian.
Selain daripada menghalang jalanraya awam, mereka juga telah membina penghalang /pagar haram di kawasan-kawasan tertentu yang menghubungkan taman kanak-kanak dan rekreasi lain seperti gelanggang bola keranjang dan sebagainya.
Malangnya fasiliti awam ini tidak dapat lagi digunakan oleh penduduk dan komuniti sekitar kerana pintu aksesnya telah dikunci. Hanya segelintir penduduk yang boleh menikmati kemudahan-kemudahan tersebut. Mananya hak saksama dan hak kita?
Pintu pagar kecil yang dikunci juga menyebabkan anak-anak kecil yang ingin ke sekolah tidak dapat menggunakan jalan pintas tersebut. Yang pelik dan tidak adil ialah, hanya golongan tertentu sahaja yang boleh menggunakannya sebab mereka mempunyai kunci mangganya.
Mananya hak saksama dan hak kita semua? Skim berpagar di sini telah menimbulkan banyak sengketa dan pertikaian di antara penduduk dan telah menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan komuniti.
Ini bukan harta persendirian. Kenapa taman perumahan di kawasan pengelolaan MPKlang boleh menjadi sedemikian? Banyak akta di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 telahpun dilanggari. PBT kena semak semula akta-akta tersebut samada pemajuan ini dijalankan mengikut kaedah-kaedah dan saluran yang betul atau tidak.
Rasanya semua fasa taman perumahan di sekitar kawasan tersebut telah menjalankan pemajuan skim komuniti berpagar tanpa permohonan, kebenaran atau kelulusan yang mengikuti kaedah-kaedah ataupun saluran yang betul.
Harapan kita ialah Tuan Yang Di Pertua Presiden MPKlang menyiasat dan mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya kerana ini adalah masalah yang amat serius. Kita tidak boleh lagi membiarkan mereka bermaharajalela dan menjalankan aktiviti mereka sesuka hati tanpa peduli ke atas kedaulatan undang-undang.
Kerajaan tolong hapuskan wabak GnG haram yang berleluasa ini dengan kejujuran dan ketekunan.
Sekian, terima kasih